Tuesday, 20 December 2016

Pesan Syeikh


Bismillah


Teringat setiap kali di dalam kelas, Syeikh selalu ulang “Jangan kamu membuang waktu, hidup kita di dunia tidak lama”. Lalu dibuat perbandingan akan tempoh masa kita hidup dengan waktu kita di dalam kubur dan di hari akhirat. Tempoh kita di dunia ini tidak sampai 1% pun daripada jumlah hari pada hari kebangkitan itu.

Dek kerana nasihat itu tidak pernah lekang daripada bibir seorang Guru, maka apa yang membuat aku berfikir adalah bagaimana waktu itu mahu dimanfaatkan dengan sebenar-benarnya?
Sepanjang tempoh 20 tahun ruh ini bersatu dengan jasad kecil ini, apa yang aku kenal akan diri ini adalah seorang yang mudah dialih perhatiannya. Ya, aku spesis homosapien yang tidak tahu duduk diam, terutamanya akalnya. Ada saja yang mahu difikirkan. Kerana aku juga seorang manusia biasa, kadang-kadang ada waktu di mana aku culas hatta dalam urusan seharian. Kadang-kadang keinginan mahu menonton filem atau drama secara berterusan itu datang membuak-buak.

Lalu aku diilhamkan dengan satu cara ringkas yang berbunyi “Kalau ada keinginan untuk melakukan perkara sia-sia, cepat-cepatlah kamu berlalu memberi pertolongan kepada orang  lain. Walaupun kebaikan itu kecil menurutmu.”

Aku mendapati itu banyak membantu, malah bahagia itu lebih bersifat hakiki berbanding dengan keseronokan daripada hiburan kosong. Bahagia kerana kau berjaya lepas daripada cengkaman nafsu sendiri, bebas melakukan ketaatan tanpa rasa terbeban.

Dalam kehidupan seharian sebagai seorang mahasiswi, aku juga tidak terlepas daripada dihujani dengan assignment, presentation, quiz dan test. Kebanyakan waktu nya, jiwa ini bergelumang dalam diam, meronta liar. Sejujurnya kalau aku membuat ulangkaji untuk subjek teras, seolah olah aku sedang cuba menghafal SOP. Seringkali terpalit di benak sendiri, aku mahunya apa. Hafal tidak mahu, baca pun tidak mahu. Eh malah perginya membaca buku lain. Degil amat! Pada masa yang sama, kerana tidak tahan menahan penangan jiwa bergelora, ada satu tempat di mana jiwa aku dirawat. Nafsu dididik dengan mudah kerana aku meyakini itu semua kerana ada keberkatan pada tempat tersebut. Namanya Baitul Huda. Tempat di mana orang mencedok pelita yang telah sirna daripada kebanyakan jiwa umat Islam. Pelita inilah yang sesungguhnya menjadi punca kekuatan umat, pada suatu masa dahulu. Pelita itu adalah Ilmu-Ilmu Tradisi Islam. Kamu silap besar kerana memandang enteng akan pengajian seperti ini. Aku sendiri mulai menyedari kepentingan semua ini setelah kehidupan dilanda konflik.


Maka setelah itu aku mengganggap bahawa setiap tribulasi itu rahmat. Untuk sosok degil seperti aku, memang selayaknya diajar dengan kesusahan. Analoginya seperti sebuah pokok di mana aku harus terlebih dahulu patah jiwanya, dibaja akar  jati diri dengan baja ilmu yang benar. Aku akan terus patah sehingga ranting jiwa yang tumbuh itu merupakan ranting yang terbaik lalu menumbuhkan bunga-bunga yang indah. Ditampar realiti, aku bangun menyedari bahawa dunia ini adalah khayalan. Tidak hakiki. Yang aku tahu, kita ini khayal dek kerana mabuk dengan segala prasarana ciptaan Tuhan. Ubat kepada mabuk itu hanya ada pada ilmu-ilmu Islam. Tiada pada yang lain bahkan kalau ditawarkan juga ubatnya daripada segenap yang lain, itu adalah lebih memabukkan. Kamu harus tahu bahawa punca segala kerosakan di dunia ini adalah kerana manusia itu tidak arif akan siapa PenciptaNya. Maka, rasa takut itu sedikit pun tidak tersemat di dalam hati ketika melakukan kezaliman. 


No comments:

Post a Comment

Cara memilih blender yang tepat

 Assalamualaikum. Kali ini saya nak menulis sebuah entri untuk bantu cara pemilihan blender (pengisar) yang sesuai untuk kegunaan masing-mas...