Baru tadi terbaca kata Usman Awang bahawa puisi adalah laungan orang yang sedang berjuang. Kira situasi ini benar, begitu menjejak pelusuk jiwa ku yang telah menyembunyikan jerih perihnya. Bukan sengaja mahu bersembunyi, tetapi kerana keterbatasan kosa kata yang mampu menguraikan kekecewaan ku di dalam hidup. Aku kira, kalau ku mendengar ungkapan ungkapan yang baik, bakal terubatlah jiwa itu. Tidak pernah aku mengalami kekecewaan sedalam ini, sehinggakan aku memejamkan mata di bawah air terjun yang melantun pun tidak mampu mengikis kedukaan ku ini. Tidak pernah sebegitu sekali. Aku pun membawa diri dari kesejukan air yang mencengkam, lalu duduk di pinggiran aliran sungai. Memerhati kebahagiaan yang dikecapi oleh anak anak tahfiz. Yang raut wajahnya begitu jernih dan riang di dalam kurnia Tuhan yang Maha Esa. Indah, aku pun ralit memerhatikan mereka yang menggelusur di atas lantai batu itu, lalu lagu percikan air itu seolah olah memujuk sebatas jiwa ku yang telah pun karam. Syukur ku panjatkan kepada Tuhanku yang telah menghiasi hamparan dunia ini dengan keindahan seperti ini.
Namun, itu hanyalah bersifat sementara. Sebentar kemudian, aku kembali hanyut dalam kedukaan. Tidak tahu kenapakah, apa munajat ku itu tersisa begitu saja?
Tidak tahu akan itu kerana perasaan itu bukan dalam takluk jajahan ku. Setelah itu, aku memulakan pembacaan yang juga merupakan kesukaan di waktu lapangku, namun tidak juga pergi perasaan itu. Kulit demi kulit ku lalui, akhirnya ku nampak kedukaan itu sudah perlahan lahan meninggalkan ku. Ini terjadi ketika aku membaca sejarah hidup Queen Elizabeth, yang bukan sarat dengan kegembiraan, tetapi berbagai penderitaan. Untuk menghayati kisah hidup wanita hebat itu, aku memainkan musik klasik dari Beethoven dan juga Mozart. Dan sedikit demi sedikit duka itu masuk ke dalam naratif kehidupan penakhluk England pada satu masa dahulu. Ternyata, perasaan sedih itu, pada satu ketika, harus dilarutkan di dalam kesedihan. Biarkan ia terurai di dalam ruang kesedihan yang ada, dan perlahan lahan cebisan kecil itu akan menghilang ke dalam ruang lain. Barangkali sifatnya akan berubah. Seperti tenaga kerana emosi ini merupakan sebahagian daripadanya. Ia sebenarnya tidak hilang, tetapi berubah bentuk. Di zaman yang menahan manusia daripada membenarkan penderitaan yang mereka alami, dengan kemunculan lagu² yang tidak benar² mencerminkan kepahitan dek anutan bahasa moden yang sirna seni daripadanya. Seni itu hanya lahir dari jiwa yang halus.
Kesimpulannya di sini, tidak membenarkan seseorang untuk bersedih itu tidak menjadikan dia seorang manusia. Sebaliknya ajarilah mereka bagaimana untuk menguruskan dan menyalurkan kesedihan itu. Tidak Tuhan ciptakan sesuatu yang sia-sia untuk umat manusia ini.
Comments
Post a Comment