Tuesday, 2 January 2024

Kursus Google Data Analytics

Assalamualaikum. Perkongsian ini merupakan catatan yang telah saya kongsikan di Facebook pada 25 Februari 2023. Disebabkan masih ramai yang bertanya mengenai peluang untuk mengambil kursus Professional Google Data Analytics, saya kongsikan kembali di blog ini untuk rujukan lebih ramai orang.

@ 𝗦𝘂𝗻𝘄𝗮𝘆 𝗥𝗲𝘀𝗼𝗿𝘁

Terima kasih Google Malaysia, Trainocate Malaysia, Selangor Youth Community - SAY Community untuk peluang yang telah diberikan ini.

Sekadar nak berkongsi kenapa saya memilih untuk mengambil kursus Data Analytics.
Pada umumnya, pelajar siswazah bergelumang dengan data ni berpisah tiada. Tidak kiralah jika kita buat kajian kualitatif atau kuantitatif. Kebetulan kajian yang saya sedang lakukan juga banyak terlibat dengan bioinformatics, yang bukan sekadar melibatkan wet lab.
Setiap kali ubah parameter, data saya akan berubah dan itu juga memerlukan saya melakukan data extraction secara berulang kali. Lama lama tu baru tahu betapa penatnya nak kena uruskan lambakan data ni.
Dari situ, saya terfikir, pasti akan ada cara yang lebih mudah dan menjimatkan masa saya. Saya yakin pasti ada solusinya, cuma perlu dipelajari. Dari situ saya mula mencari apa yang boleh membantu meningkatkan kemahiran Analytics saya. Dan dari situlah saya bertemu dengan program Google Gemilang ini yang turut menawarkan beberapa kursus lain seperti UI/UX, digital marketing, project management dan banyak lagi.

𝟭. 𝗔𝗽𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗮𝗹𝗶𝗻𝗴 𝘀𝗮𝘆𝗮 𝗴𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗸𝘂𝗿𝘀𝘂𝘀 𝗗𝗮𝘁𝗮 𝗔𝗻𝗮𝗹𝘆𝘁𝗶𝗰𝘀 𝗶𝗻𝗶?
SQL dan R! Suka sangat sebab menjimatkan masa pencarian dan analisis. Cumanya kena ingat syntax dan language lah.

𝟮. 𝗔𝗱𝗮𝗸𝗮𝗵 𝗸𝘂𝗿𝘀𝘂𝘀 𝗗𝗮𝘁𝗮 𝗔𝗻𝗮𝗹𝘆𝘁𝗶𝗰𝘀 𝗺𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗺𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗲𝘀𝗮𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗺𝗮𝘀𝗮𝗹𝗮𝗵 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝘀𝗮𝘆𝗮 𝗵𝗮𝗱𝗮𝗽𝗶?
Iya. Setelah menyelesaikan kursus ini, saya lebih memahami tentang struktur data, bagaimana untuk menjadi seorang Data Analyst yang beretika, bagaimana untuk menyediakan laporan untuk Data Analysis dan terakhir sekali, saya dapat mengenal platform seperti Kaggle dan StackOverflow.
Untuk modul terakhir iaitu project capstone, saya menggunakan data yang dikutip sendiri dari kerja-kerja proofreading saya. Sambil belajar, sambil selesaikan business objective Thesis Guru.

𝟯. 𝗕𝗮𝗴𝗮𝗶𝗺𝗮𝗻𝗮 𝗰𝗮𝗿𝗮 𝘀𝗮𝘆𝗮 𝗰𝘂𝗯𝗮 𝗺𝗲𝗺𝗽𝗿𝗮𝗸𝘁𝗶𝘀𝗸𝗮𝗻 𝗮𝗽𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗶𝗽𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿𝗶 𝗸𝗲 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗸𝗲𝗵𝗶𝗱𝘂𝗽𝗮𝗻 𝘀𝗮𝘆𝗮?
Saya ekstrak data dan susun mengikut pengaturcaraan R. Dalam banyak-banyak modul, R merupakan alat yang paling dekat dengan kerja seorang penyelidik selain penggunaan Excel atau Spreadsheet.

𝟰. 𝗕𝗮𝗴𝗮𝗶𝗺𝗮𝗻𝗮 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗹𝘂𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗲𝗸𝗲𝗿𝗷𝗮𝗮𝗻 𝘀𝗲𝘁𝗲𝗹𝗮𝗵 𝗺𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗲𝘀𝗮𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗸𝘂𝗿𝘀𝘂𝘀 𝗶𝗻𝗶?
Alhamdulillah. Sebelum saya selesaikan kursus ini, saya sudah menerima pelbagai macam pertanyaan mengenai isu yang dihadapi oleh pengendali bisnes di sekeliling saya.

Apa yang saya lakukan adalah,
• Bertanya soalan spesifik yang dapat membantu mengenal pasti perkara yang bisnes terlepas pandang
• Mencadangkan agar bisnes boleh menyukat tingkahlaku pelanggan menggunakan survey form
• Meneliti data-data yang sedia ada dan mengenalpasti analisis yang sesuai untuk data tersebut melalui Data Visualization.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang sedang mempertimbangkan kursus ini.




Kredit gambar: Pihak penganjur

Cara Buka Akaun Semasa (Current Account-i) Hong Leong Islamic Bank untuk Sole Proprietor

 Assalamualaikum.

Alhamdulillah hari ni baru dapat buat keputusan untuk pilih nak buka akaun bank untuk SSM dengan bank mana. Disebabkan nampak ramai beri saranan untuk buka dengan Hong Leong, saya pun terus ke laman sesawang bank tersebut. Saya lebih konfiden nak buka akaun bank dengan Hong Leong selepas lihat betapa mudahnya suami nak selesaikan akaun financing dengan sini. Selain itu, suami pun cakap online banking app ok. 

Jadi untuk memudahkan anda yang nak mendaftar akaun bank untuk SSM pertama, saya akan senaraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan. 



Terlebih dahulu, sediakan Borang D seperti contoh di bawah untuk dirujuk nombor pendaftarannya. 



Setelah Borang D sudah tersedia, 

1. Layari laman sesawang ini,

https://www.hlb.com.my/en/business-banking/home.html?icp=hlb-en-home-header-txt-bcb-segment 

Ikut semua langkah-langkah dalam isi borang,
Nota tepi: 

A. kita orang Islam pilih akaun Islamic,

B. Nanti ada diminta untuk diisi anggaran annual income anda.

Setelah selesai mengisi permohonan di atas talian, tekan hantar. Tunggu sehingga anda mendapat panggilan dari cawangan terdekat. Kalau pengalaman saya, pagi ni isi borang permohonan secara dalam talian, dalam 30 minit selepas proses tersebut, terus wakil cawangan terdekat ada hubungi saya.

Setelah anda mendapat panggilan dari cawangan Hong Leong terdekat, ini adalah dua perkara yang anda boleh muat turun terlebih dahulu menggunakan wifi rumah anda bagi mempercepatkan proses pendaftaran di kaunter, terutamanya kalau talian data anda tidak stabil dan terhad.

2. Buka App Store (iOS) atau Play Store (Android).

3. Cari dan muat turun 'HLB Connect Mobile Banking' dan 'HLB BizBuddy'. Pendaftaran selanjutnya hanya akan boleh diselesaikan setelah pengesahan cap jari, dan tandatangan di lakukan di kaunter. Jangan lupa bawa semua dokumen yang mengesahkan pendaftaran SSM anda seperti Borang A dan Borang D. 



4. Setelah hadir ke cawangan terdekat anda, boleh minta nombor giliran untuk buka akaun current. Sediakan kad pengenalan siap-siap untuk diberikan kepada petugas di kaunter. 

5. Kalau anda tiada personal account dengan Hong Leong, mereka akan buka account ini terlebih dahulu, kemudian baru akaun perniagaan kita. Nanti sign up, sediakan id dan password. Password Hong Leong tak boleh ada special case. 

Tadi saya sudah bawa cop SSM sendiri sekiranya saya perlu cop borang untuk pendaftaran akaun perniagaan, tapi tak digunakan pun. 

Nanti bila kita sudah selesai sign up, apabila sign in HLB Connect, kita akan boleh lihat ada dua buah paparan di situ, iaitu akaun peribadi dan perniagaan kita. 

Manakala HLB BizBuddy ni untuk kita semak wang yang diterima apabila pelanggan/klien scan QR code akaun perniagaan. Nanti kita akan dapat salinan QR code fizikal yang akan dipos oleh Hong Leong ke alamat kita. 

Kita juga akan mendapat dua kad bank, setiap satu untuk akaun yang kita telah daftar tadi. Yang saya paling terkejut adalah, untuk pendaftaran akaun perniagaan sole proprietor, hanya memerlukan deposit seminima RM50. Amaun deposit ke akaun peribadi juga adalah sebanyak RM50 sahaja. 

Tapi tadi saya ada dapat hadiah sempena pembukaan akaun Islamic pada hari ini. Syaratnya adalah deposit sebanyak RM100 untuk setiap akaun. Cuba teka apa yang saya dapat? Jeng jeng jeng.

Tote bag dan voucher KFC.

Staf Hong Leong yang menguruskan transaksi saya tadi menghulurkan hadiah ini sambil tersipu malu. "Sorry ya Puan untuk voucher ni. Kami pun dapat dari KFC ni." Yang faham tu faham lah ya. Bagus staf ni sebab dia cakna dengan sentimen masyarakat sekarang.
Alhamdulillah selesai semua ni dalam tempoh bawah sejam. Sebagai orang yang tak berapa gemar kena kerap dan berlama lama di bank, saya boleh puji servis Hong Leong. Tambah lagi pernah ada pengalaman nak tutup financing kereta, boleh selesai di atas talian sahaja. Saya boleh nampak cara Hong Leong menawarkan servis perbankan mereka agak progresif. 

Saya yakin kebanyakan orang nak kurangkan masa perlu hadir dan berurusan di kaunter. Boleh jadi atas faktor sibuk, isu parking, dan trafik. Jika boleh selesaikan urusan di hujung jari, kenapa tidak kan?


Thursday, 14 December 2023

Lubuk Buat Duit Buat Pekerja Gig

Pandemik kini menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan. Ada juga yang memilih untuk berhenti bekerja kerana tekanan pekerjaan. Disebabkan ini, ramai yang mencari cara untuk menjana pendapatan melalui internet. Berikut merupakan beberapa platform yang kita boleh cuba.

 

Facebook group (Pasaran Antarabangsa)

Facebook merupakan sebuah platform yang tidak asing lagi dari pengguna tempatan. Namun, kita kadang-kadang terlepas pandang akan potensi Facebook sebagai lubuk kepada peluang mendapatkan pendapatan lebih. Sebagai seorang penulis, saya banyak membuat kerja-kerja sebagai pembaca pruf, penstrukturan ayat, dan tatabahasa. Jadi saya banyak mencari grup berkaitan, atau bahasa mudahnya grup seperti ‘’proofreading and editing services.’’. Di situ terdapat ramai freelancer professional yang banyak berkongsi tips dan juga servis. Di FB, komunikasi antara pengguna adalah secara lansung dan tawar menawar boleh berlaku. Apa yang paling penting adalah platform ini adalah percuma. FB amat sesuai untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan freelancing. Untuk melicinkan urusan, adalah lebih baik sekiranya anda memastikan profile fb anda adalah lengkap dan jika dinilai, kelihatan dipercayai.


Fiverr dan Upwork (Pasaran Antarabangsa)

Fiverr merupakan sebuah marketplace khusus untuk freelancer. Disebabkan ianya dicipta secara khusus, ekosistemnya juga adalah lebih spesifik kepada kegiatan digital. Fiverr juga tersedia dengan kursus sokongan untuk membantu karyawan bebas membuat jualan. Kalau Upwork saya kurang pasti. Ianya juga dilengkapi dengan ujian kelancaran Bahasa untuk mereka yang membuat servis terjemahan dan yang sewaktu dengannya. Namun begitu, platform ini mengenakan caj servis dari pihak pengurusan Fiverr.

 

Carousell (Pasaran Asia)

Carousell merupakan sebuah platform e-commerce dengan fungsi yang lebih mesra pelanggan dan percuma. Kebanyakan platform ini digunakan untuk mencari barangan yang telah digunakan terutamanya barang elektronik, barang elektrik dan pakaian. Namun ramai juga yang menjual servis digital melalui platform ini kerana ekosistem yang mesra pengguna. Carousell ini menfokuskan jualan di antara pengguna-pengguna.


MDEC eRezeki (Pasaran Malaysia)

MDEC Erezeki merupakan sebuah platform untuk mencari pendapatan tambahan melalui kerja-kerja digital.  Platform ini menguar-nguarkan peluang pekerjaan dari syarikat-syarikat yang berada di dalam industri digital di Malaysia. Platform ini amat sesuai untuk mereka yang ingin mencari kerja sepenuh masa, separuh masa, dan juga Latihan industri.

 

Saturday, 26 January 2019

Ubat duka adalah dengan bersedih

Baru tadi terbaca kata Usman Awang bahawa puisi adalah laungan orang yang sedang berjuang. Kira situasi ini benar, begitu menjejak pelusuk jiwa ku yang telah menyembunyikan jerih perihnya. Bukan sengaja mahu bersembunyi, tetapi kerana keterbatasan kosa kata yang mampu menguraikan kekecewaan ku di dalam hidup. Aku kira, kalau ku mendengar ungkapan ungkapan yang baik, bakal terubatlah jiwa itu. Tidak pernah aku mengalami kekecewaan sedalam ini, sehinggakan aku memejamkan mata di bawah air terjun yang melantun pun tidak mampu mengikis kedukaan ku ini. Tidak pernah sebegitu sekali. Aku pun membawa diri dari kesejukan air yang mencengkam, lalu duduk di pinggiran aliran sungai. Memerhati kebahagiaan yang dikecapi oleh anak anak tahfiz. Yang raut wajahnya begitu jernih dan riang di dalam kurnia Tuhan yang Maha Esa. Indah, aku pun ralit memerhatikan mereka yang menggelusur di atas lantai batu itu, lalu lagu percikan air itu seolah olah memujuk sebatas jiwa ku yang telah pun karam. Syukur ku panjatkan kepada Tuhanku yang telah menghiasi hamparan dunia ini dengan keindahan seperti ini.

Namun, itu hanyalah bersifat sementara. Sebentar kemudian, aku kembali hanyut dalam kedukaan. Tidak tahu kenapakah, apa munajat ku itu tersisa begitu saja?

Tidak tahu akan itu kerana perasaan itu bukan dalam takluk jajahan ku. Setelah itu, aku memulakan pembacaan yang juga merupakan kesukaan di waktu lapangku, namun tidak juga pergi perasaan itu. Kulit demi kulit ku lalui, akhirnya ku nampak kedukaan itu sudah perlahan lahan meninggalkan ku. Ini terjadi ketika aku membaca sejarah hidup Queen Elizabeth, yang bukan sarat dengan kegembiraan, tetapi berbagai penderitaan. Untuk menghayati kisah hidup wanita hebat itu, aku memainkan musik klasik dari Beethoven dan juga Mozart. Dan sedikit demi sedikit duka itu masuk ke dalam naratif kehidupan penakhluk England pada satu masa dahulu. Ternyata, perasaan sedih itu, pada satu ketika, harus dilarutkan di dalam kesedihan. Biarkan ia terurai di dalam ruang kesedihan yang ada, dan perlahan lahan cebisan kecil itu akan menghilang ke dalam ruang lain. Barangkali sifatnya akan berubah. Seperti tenaga kerana emosi ini merupakan sebahagian daripadanya. Ia sebenarnya tidak hilang, tetapi berubah bentuk. Di zaman yang menahan manusia daripada membenarkan penderitaan yang mereka alami, dengan kemunculan lagu² yang tidak benar² mencerminkan kepahitan dek anutan bahasa moden yang sirna seni daripadanya. Seni itu hanya lahir dari jiwa yang halus.

Kesimpulannya di sini, tidak membenarkan seseorang untuk bersedih itu tidak menjadikan dia seorang manusia. Sebaliknya ajarilah mereka bagaimana untuk menguruskan dan menyalurkan kesedihan itu. Tidak Tuhan ciptakan sesuatu yang sia-sia untuk umat manusia ini.

Friday, 28 December 2018

Pelajari Siapa Diri Anda


Bismillah.

Hai kepada semua pembaca yang sudi singgah ke blog saya. Semoga baik-baik saja hendaknya.
Sebab ramai yang bertanya bagaimana itu ‘study diri sendiri’, jadi sudi untuk saya kongsikan. Ceritanya begini ya kawan-kawan.

Ianya bermula setelah selesai viva, di mana sebenarnya seminggu sebelum viva saya telah ditimpa sakit. Mungkin kerana stress yang telah berjaya dikumpul dari awal semester sehingga sekarang. Al maklumlah semester ni kena buat final year project. Kombo dengan kerja lab + thesis = fyp. Tambahan lagi saya buat fyp berasaskan dua bidang ini iaitu; mikrobiologi dan molekular di mana ia memerlukan ketekunan dan kesabaran yang begitu tinggi demi menyelesaikan thesis. Hanya mereka yang buat fyp dalam bidang ni je faham dia punya cabaran tu.

Pun begitu, Alhamdulillah, berjaya juga selesaikan penulisan dan viva walaupun hardbound belum siap lagi. Apapun, memang rasa lah cabaran menjadi pelajar tahun akhir ni.
Menjelang 2019 ini,  lagi-lagi untuk pelajar tahun akhir yang bakal memulakan latihan industri, pasti kusut memikirkan apa yang hendak dilakukan selepas selesai intern. Ada yang rasa hilang diri sendiri dan dilanda ‘existential crisis’ (macam saya),  ada yang rasa nak bawa diri ke luar negara, ada yang rasa hidup tidak lagi bermakna, ada yang takut dan ada juga yang tak sabar nak grad.

Untuk yang sedang menghadapi fasa sebegini, ketahuilah bahawasanya itu semua normal. Tidak ada salahnya jika anda mengambil masa untuk diri sendiri. Namun, masa untuk diri sendiri itu mestilah diisi dengan melakukan perkara yang memberi makna kepada kehidupan anda. Ada orang, mereka menghabiskan masa dengan orang tersayang, ada orang dengan membaca buku dan dengan diskusi intelektual, bercuti dan macam-macam lagi. Jangan memilih untuk terperap dan menjadi katak di bawah tempurung.

Baiklah, alkisah sebelum saya memulakan study ke atas diri sendiri adalah inspirasi hasil daripada perbualan Whatsapp dengan kakanda yang saya kasihi:



Dari perbualan itulah, saya terus mengambil masa untuk saya melakukan beberapa tests yang berjaya ditemukan di Google.



Untuk bahagian personality test, saya lakukannya beberapa kali dengan menjawab soalan dari website yang berbeza. Kenapa pentingnya melakukan test di website berbeza? Kerana setiap laman sesawang mempunyai soalan yang berbeza. Setiap soalan juga akan menghasilkan outcome dan interpretation yang berbeza. Dari situ, anda akan dapat memperhatikan traits anda yang dominan, yang konsisten, dan yang berbeza setelah membandingkan beberapa test. Contohnya, keputusan personality test saya selalu berlegar di antara tiga iaitu; INTJ, INFJ, dan INFP. Setiap keyword itu amat penting untuk anda ketahui.  Contohnya seperti :

I – Introvert
N- Intuitive
T – Thinking
J- Judging
F- Feeling
P- Perceiving

Setiap traits tersebut hendaklah anda fahami. Setelah benar-benar memahaminya, barulah anda boleh meneruskan kepada career test, entrepreneurship test, gaya bercinta, dan banyak lagi.
Jika anda perhatikan pada tiga result ujian personaliti saya, dua traits di hadapan adalah konsisten, manakala dua traits di belakang adalah kurang konsisten. Maksudnya, dua ciri tersebut adalah kurang dominan dan sering berubah. Dari situ, saya memilih untuk mendominankan satu ciri sahaja (pilihan saya adalah rahsia) dan pilihan ini hendaklah disertakan dengan latihan untuk mengoptimumkan penguasaan ciri tersebut ke atas diri kita. Contohnya, jika saya memilih untuk mendominankan berfikir melebihi berperasaan, saya hendaklah membenarkan openness in receiving criticism berlaku ke atas saya.

Nah, dari situ baru anda dapat melihat di mana kekuatan, kelemahan, kelebihan, dan peluang anda di dalam kehidupan bersesuaian dengan personaliti anda. Suka untuk saya ingatkan bahawa personaliti diri boleh berubah seiring waktu. Memang sifat makhluk sentiasa berubah-ubah kerana kita ini bersifat baharu.

Suka untuk saya ingatkan bahawasanya tests ini tidak menentukan anda siapa secara absolut. Tests ini hanya mentafsirkan siapa anda dari variables yang ada dalam diri anda. Dan anda mampu mengubahnya.

Ujian-ujian ini juga adalah terbatas kepada beberapa aspek sahaja kerana tidak ada parameter yang disediakan di dalam test-test ini untuk mengukur tahap spiritual kita sedangkan manusia tidak hanya wujud dalam bentuk fizikal. Hidupnya seorang manusia kerana adanya ruh yang telah ditiup ke dalam jasad. Makanya, eloklah untuk kita dalami beberapa karya untuk memahami aspek ini. Begitu saya mencadangkan beberapa buah karya untuk ditekuni iaitu;

1.      Siri Ihya’ Ulumuddin, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali
2.      The Nature of Man and Psychology of the Human Soul, S.M. Naquib al-Attas
3.      Rasail an-Nur, Imam Badiuzzaman Sa’id Nursi

Insha Allah, banyak perkara yang akan terungkai setelah mendalami karya-karya yang telah disebutkan di atas.

Dengan ini, saya ucapkan, selamat menyelami lautan jiwa anda. 
Ride the tides and enjoy the rides :) 

Syafiqah,


Pasir Mas, Kelantan.



Wednesday, 13 June 2018

Bermurah Hati lah dengan Pendengaran kamu

Depresi. Pernah kah kita sendiri yang mengalaminya?

Punca,

Pertama, pernahkah sahabat anda menelefon/ whatsapp di pertengahan malam?

Apa yang ingin diluahkannya? Orang kalau jam sebegini (sekitar jam 1.50 pagi) tiba-tiba mesej,

"Kau dah tidur ke?". Itu baru langkah pertama. Masih berbasa basi.
Kalau mesej nya itu dibalas serta merta, menyalalah sedikit harapan buat si A. Baiklah aku namakan si Fulan/Fulanah yang mesej kawan sebagai A.

Kemudian, bergantung kepada isi mesej yang dibalas. Kalau menerima respon positif, si A akan memberanikan diri bertanya,

"Boleh aku nak bercerita ke? Kalau aku tak mengganggu"

Nah. Daripada ayat si A ini, ada sesuatu yang membuatnya gusar. Masalahnya? Tidak.

Tetapi kegusaran kalau kalau mesejnya itu cukup mengganggu ketenteraman orang yang lagi tidur. Ya siapa saja yang masih segar pada jam sebegini.

Tetapi anda tidak sepenuhnya salah. Pagi-pagi sunyi seperti ini, mungkin, apalah yang si A sedang lakukan? Rasa rasanya? Nadanya berbunyi serius, pasti lagi termenung atau memikirkan sesuatu. Kalau bukan kerana kesan menghirup segelas kopi.

Saya ada kenal seorang sosok gadis ini. Katakan namanya Alisa. Jika matanya tidak lelap pada waktu malam, ada sesuatu yang memberati fikirannya. Paling tidak pun, ada tanggungjawab yang harus diselesaikannya. Di mana, jika tertangguh tidak dapat tidur katanya. Apa kaitannya dengan perenggan di atas? Sebenarnya kita sedang menganalisis karakter si A. Dan diqiyaskan dengan situasi gadis yang sedang saya ceritakan.

Hanya dengan sepotong mesej daripada si A, apa mungkin kita dapat menjangkakan ada apa dengannya.

Apabila seseorang konsisten mengulang kata "maaf, " bahkan mengucapkannya lebih daripada sepatutnya, ada kemungkinan bahawa dia sering diperkatakan sebagai seorang yang membebankan di dalam hidup.

Kalau begitu,
Apa reaksi yang sepatutnya kita berikan?

Situasi 1:
Tutup data, dan baca mesejnya, balas esok. Jika kamu lagi kepenatan.

Situasi 2:
"Kau okay ke?, " Selepas tu taruh emoji ceria seperti :)

Kenapa saranan nya begitu?
Kemungkinan.
Orang begini, tidak ada yang sudi mendengar kisah kekecewaan hidupnya.

Orang kecewa ini pertamanya harus didengar kerana kekecewaannya akan bertambah bisa. Yang pahit makin pahit. Jadi, kita bersabar sebentar. Walaupun saya tahu tidak mudah untuk menjadi orang yang sabarnya tinggi. Sesiapapun tidak akan pernah memahami cabaran hidup seseorang kecuali kamu menjadi diri nya. Namun, ada situasi di mana mehnah nya hampir serupa. Masih boleh berkongsi rasa bukan? :)

Kembali kepada si A tadi, apabila berjaya disisipkan mindset "Kamu ini menyusahkan, ", bermaksud juga bahawasanya ada sebuah tempoh yang panjang.

Tahukah anda perkara yang berulang ulang disebut pada akhirnya akan disimpan di dalam memori separa sedar?

Memori separa sedar, akan membuatkan pemiliknya melakukan sesuatu perkara secara automatik, spontan.

Maksudnya lagi apa? Sepanjang tempoh itulah, mental abuse berlaku. Saya bukan lah seorang pakar psikologi tetapi menurut perhatian saya, lama kelamaan individu itu akan menonjolkan simptom² anxiety.

Apabila sudah menjadi begini, refleks yang dizahirkan adalah refleksi secara biologi.

Jadi?

Jangan dimarah marah dahulu orang begini. Kalau orangnya ada di depan mata, bawalah si A makan. Itu akan membantu empunya badan sedikit bertenang.

Tetapi kan, si A itu hanya berhubungan dengan kamu melalui smartphone.

Sudah telan habis pesan saya di atas? Supaya tidak menggunakan kemarahan, walaupun kamu mendengar luahan yang bukan-bukan. Bertenang bertenang. Ada waktu manusia itu boleh hilang akalnya dek tekanan hidup.

Mendengar itu adalah salah satu usaha supaya si A masih merasakan dirinya masih punya sinar di dalam hidup.

Kalau sudah pun namanya manusia, mereka juga memerlukan orang untuk mendengar. Cuba saja kurung diri tanpa punya interaksi dengan sekeliling.

Pelajaran pertama adalah,

Belajar mendengar. 
Belajar mendengar,
Dan,
Belajarlah mendengar.

Friday, 1 September 2017

Oxford and USIM Whatsapp Wallpaper Chat

Bismillah.
Salam

Day-4 practising Adobe Photoshop.
So here they are.

Size : 1280 pixels x 720 pixels
For Whatsapp wallpaper chat



Feel free to use.
Adios!

Sunday, 19 March 2017

Pendidikan dan Universiti yang telah Kehilangan Maknanya P1

Bismillah.

Universiti ketika dahulu itu menjadi pujaan ramai anak muda. Begitu ramai yang berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat demi menuntut ilmu.
Namun, dewasa kini selalu jugalah saya ternampak troll yang berbunyi sarkastik, menyaksikan betapa mahasiswa sekarang adalah mahasiswa yang stress. Kenapa? Kebanyakannya sering menanti hari cuti, walaupun baru seminggu mendaftar semester.  Menanti untuk melepaskan lelah pada hujung minggu. Bagaimana ini boleh berlaku? Sepatutnya apabila mahasiswa menghadirkan diri ke kuliah, jiwa mereka turut hadir bersama. Rasa teruja ingin tahu, itu adalah permulaan ke arah melahirkan seorang ilmuwan yang berkualiti.

Sudah terhapus kah rasa ingin tahu itu? Apa ianya sudah mati?
Apakah falsafah pendidikan kita?
Dan kalau sikap ingin tahu itu masih hidup, adakah ianya terpandu selari dengan tujuan asal pendidikan dalam Islam? 
dan untuk apa kita belajar sebenarnya?

Itu adalah persoalan yang wajib setiap individu tanyakan pada diri sendiri. Perkara paling utama adalah memastikan kita jelas dengan persoalan ini terlebih dahulu sebelum kita terjun membincangkan sistem.

Sistem terbina kerana adanya individu. Sekumpulan individu kemudiannya membentuk sebuah organisasi. Dan sebuah organisasi inilah yang berbincang dan merangka sebuah sistem. Pendek kata, segala-galanya bermula dengan individu. Maka sebelum kita cantas apa jua sistem yang sedia ada, kita hendaklah berlaku adil dengan mengukur asas faham kita tentang pendidikan.

Menyentuh perihal sistem, ada apa dengan sistem pendidikan kini, khususnya di Malaysia?
Lambakan subjek-subjek yang dimuat masuk ke dalam jadual pelajar dek kerana mengejar standard, mahu meningkatkan 'kompetensi' pelajar di alam pekerjaan. Ya benar, dunia yang menekan kita. Mahu atau tidak terpaksa kita akui bahawa kita turut sama terheret ke dalam arus modenisasi. Semuanya mahu cepat dan segera.

Namun, sedarkah kita dalam sibuk mengejar semua itu, ada sesuatu yang kita tercicir. Iaitu proses mematangkan ilmu.

Universiti juga semakin lama semakin kehilangan ruh nya. Ada bahagian yang lompong, tetapi di mana? 

Saya tinggalkan kalian dengan persoalan ini.



BT3.8, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM
Jam 8.07 malam




Sunday, 5 March 2017

Memperkasakan Wanita : Antara Wacana atau Kerja Lapangan

Bismillah.

Setelah melalui dua minggu yang sarat dengan 'self-fulfillment' , penat bertukar menjadi sebuah nikmat agung. Kalau sentiasa beginilah, waktu dirasakan seperti diberkati Tuhan  dan aku cukup berterima kasih atas kurniaNya yang tiada penghujungnya. Aku akui ketika ini jugalah diri dilanda pelbagai 'undetected conflicts' yang aku sendiri hairan kenapa aku berkelakuan aneh sepanjang tempoh ini.

Jadi ada tiga tempoh di mana segala kegersangan jiwa itu ditampung. Pertamanya di Retreat My Sisters Axis. Yang ke-2 nya di The Revival of Muslim Women : Where Does it Starts? Kiranya posting kali ini adalah hasil daripada kedua-dua tadi.

Dari Nilai, lebih kurang pada jam 11.20 malam pada Jumaat 24 Feb, disebabkan pada Sabtu itu aku tidak dapat tinggal sehingga Ahad, aku meminta jasa baik teman serumah supaya menghantarkan diri ini terus ke Jalan Gurney 2. Waktu dalam perjalanan ke sana, kami disapa dengan suluhan terang daripada kamera AES, jadi maafkan aku Anis. Mudah mudahan Allah memberikan rezeki yang lebih baik daripada saman tersebut. Seusai sahaja sampai di Palladium Condo, aku disambut mesra oleh otai MSA iaitu kak Firah, kak Dijah dan semestinya Kak Siti. Dijamu dengan kuew teow goreng, sambil berbual sehingga hampir ke jam 2 pagi dengan kak Siti. Antaranya tentang 'psychological tendency' anak remaja yang berusia dari 13-18 tahun. Fasa itu merupakan fasa yang penuh dengan uncertainties. Hatta aku yang belum lagi mencecah usia 21 tahun pun masih dalam fasa yang belum habis meneroka makna dan hakikat diri. Masih panjang perjalanannya.

Terus kepada pengisian dalam slot pertama pada pagi seterusnya iaitu 'Embrace Your Feminity'. Sebelum pergi mendalami tajuk tersebut, disebutkan bahawa 'whatness' merupakan kunci kepada segala jenis persoalan. Mana mungkin ada yang mampu bertanya kalau bukan kerana sudah ada gambaran di dalam dhihin.

Nah, dari sinilah bermulanya kupasan yang lebih mendalam berkenaan kaum Hawa. Suka untuk aku naqalkan apa yang Ustaz Badiuzzaman Said Nursi pernah menyebut bahawa persoalan itulah yang menggerakkan seseorang. Secara ringkasnya, di peringkat awal bagaimana proses pemerkasaan wanita itu boleh berlaku adalah melalui pengajian tentang hakikat insan. Dari situ kita akan mengenal terlebih dahulu apa itu ruh, apakah ruh kita mempunyai jantina atau bagaimana. Anda mempunyai dua pilihan bagaimana mahu memahami perkara asas tentang hakikat keinsanan adalah melalui talaqqi kitab Turath khususnya kitab Akidah ataupun buat yang merasa lebih dekat dengan Bahasa Inggeris, boleh mulakan dengan menelaah magnum opus Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Ilmu asas ini adalah template yang membantu membentuk sarwa pandang kita dan secara tidak lansungnya berfungsi sebagai alat untuk kita mengenal pasti apa permasalahan sebenar dalam sesuatu perkara yang akhirnya melahirkan individu yang korup. Individu yang korup boleh jadi seorang lelaki atau wanita, maka tidak boleh dipandang enteng . Adanya jantina adalah kerana adanya ruh dan jasad. Maka harus dikenali dengan baik asal kejadian dan fitrah kita, kemudian barulah kita mampu berfungsi dengan baik. Menghadiri wacana sahaja tidak cukup untuk membentuk kefahaman yang kukuh. Sebaiknya menurut pendapat saya, wacana sepatutnya dijadikan platform untuk mengetengahkan isu-isu yang berlaku dalam dunia kewanitaan. Ini adalah satu bentuk advokasi di mana kita cuba untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang apa yang sebenarnya terjadi. Bagi memberi gambaran sebenar yang berlaku di alam realiti, tidak lain tidak kita mesti mengetahui isu.

Sesudah habis dibentuk pandang alam Islam yang betul seiring dengan latihan seperti memerhati, kemudian berfikir sesuai dengan tuntutan al-Quran, dapat membantu mengakhiri perbincangan berkenaan 'Women Empowerment' yang masih berlegar dalam linkungan yang sama. Bentuk manifestasi tertinggi adalah bermula pada kefahaman dan seterusnya pelaksanaan hasil daripada kefahaman dilakukan oleh setiap individu pada diri sendiri. Terjemahkan kepada realiti (kerja-kerja di lapangan). Fahami bahawa kerja bagi membentuk kefahaman itu memakan masa dan dilakukan secara berperingkat. Ibarat buah kalau mahu dipetik haruslah ditunggu ranum dulu. Di situ sudah memerlukan pendidikan yang berterus terusan untuk generasi baharu.

Bagi buah yang sudah ranum masak (mereka yang sudah mempunyai 'wisdom'), haruslah dialirkan ke lapangan masyarakat. Tidak boleh terburu-buru dalam urusan membaiki struktur masyarakat kerana sikap terburu buru itu akan membawa malapetaka yang lebih dahsyat. Makanya, harus dititip sikap sabar itu terutamanya dalam pembentukan diri khususnya buat kaum wanita. Harus istiqamah dalam mendalami ilmu. Harus tahu beza antara ilmu dan motivasi kerana fenomena penganjuran program di universiti sekarang banyak bertemakan motivasi. Benar, kita kaum wanita selalu dahagakan motivasi dek kerana kita ini makhluk yang mudah luluh hatinya, namun motivasi itu sebenarnya akan datang menyusul setelah berbuahnya kefahaman dalam ilmu. Harus disemat dengan baik bahawa wanita merupakan tunjang kepada pembinaan anak bangsa, maka kita mestilah wajib tahu mengatur prioriti. Mesti menjadi 'selective' dalam soal pengisian untuk akal dan jiwa.

Pada akhirnya, usaha bagi memperkasakan kaum Wanita merupakan satu usaha bersama dan kolektif. Perjuangan melahirkan wanita harapan bangsa merentas gender. Petikan daripada buku Sarimah :

"Sebab di dalam aksi menyelenggarakan Dunia Baru itu, perempuan tidak beraksi sendiri, dan laki-laki pun tidak beraksi sendiri, tetapi kedua dua sekse itu bersama-sama berjuang, bersama-sama bergerak, bahu-membahu, di dalam satu gelombang yang makin lama makin mendahsyat. Satu gelombang perjuangan kelas, yang tidak kenal perbedaan antara manusia dengan manusia, satu gelombang menuju kemerdekaan,-.."

Doa buat pembaca, semoga Tuhan sentiasa memberikan petunjuk dalam apa jua yang kalian lakukan. Aamiin.

Starts small.

Wednesday, 28 December 2016

Wanita Intelek Kahwin Lewat?

Bismillah.

*Posting asal daripada Instagram saya.

Terbaca satu posting di FB, di mana kebiasaan nya wanita yang pemikirannya berlaras tinggi, kahwin lewat. Ada juga pernah terbaca artikel yang ditulis oleh seorang pakar psychiatrist tapi terlupa nama penulisnya.

My personal opinion la, mereka ni golongan yg memilih utk tidak bergelut dengan emosi terhadap lelaki sehingga selesai 'penerokaannya'. Ada juga yg takut kecewa lepas tu burn out. Kesimpulannya, mereka ini sukakan hubungan yg serius, no play-play lah. Kalau nak main-main, pergi jauh-jauh lah ya. Mereka mementingkan kualiti pada diri dan juga orang yg akan jadi pasangannya. *kualiti paling penting khatam semua bab ilmu Fardhu 'Ain lah demi keharmonian rumah tangga Insha Allah

Golongan ini jg sgt menghargai diri sendiri sehinggakan mereka m'jadi agak selective.
Perkara yg suka utk saya highlightkan di sini, pertamanya apa yg kita harapkan dari perkahwinan?  If you're just expecting sweet stuff after all then you're abolishing the sacredness of marriage meaning (kesucian makna rumahtangga). Kahwin untuk expand kan lagi support system dengan penyatuan dua keluarga dan akan berkembang lagi. Pada akhirnya menjadi support system utk masyarakat, sekaligus membentuk tamadun. Unit-unit kecil ini lah yang akan memberi kesan kepada pembinaan sesebuah masyarakat.

Maka disebabkan ini, siapa kata bina keluarga ni benda yg main-main ? Ohoo. Perlu persediaan mental dan fizikal dan mohon matang terutamanya bila nak 'fefeeling' ni. Jadi, apa salahnya kalau golongan wanita ini mahu memastikan mereka sudah punya essential quality  sebelum menjadi isteri dan seterusnya seorang ibu kepada anaknya. Mereka bimbang akan berlaku zalim seandainya diri pada awal hari lagi sudah terlibat dengan gejala cinta yang tidak jelas hala tujunya. Tahu dan sedar akan tanggungjawab yg akan digenggam pada kemudian hari.

Pada akhirnya kita melihat pembinaan tamadun yang baik ini untuk siapa? Utk diri sendiri dan tak lain tak bukan adalah untuk Tuhan kita. Maka selesai salah satu tugas selaku khalifah yang telah lahir di muka bumi ini.
Makanya sedarilah bahawa apa yg lebih penting adalah perkara yg boleh selamatkan kita di dunia akhirat iaitu ilmu yg bermanfaat dan amal soleh

Wallahua'lam


Tuesday, 20 December 2016

Pesan Syeikh


Bismillah


Teringat setiap kali di dalam kelas, Syeikh selalu ulang “Jangan kamu membuang waktu, hidup kita di dunia tidak lama”. Lalu dibuat perbandingan akan tempoh masa kita hidup dengan waktu kita di dalam kubur dan di hari akhirat. Tempoh kita di dunia ini tidak sampai 1% pun daripada jumlah hari pada hari kebangkitan itu.

Dek kerana nasihat itu tidak pernah lekang daripada bibir seorang Guru, maka apa yang membuat aku berfikir adalah bagaimana waktu itu mahu dimanfaatkan dengan sebenar-benarnya?
Sepanjang tempoh 20 tahun ruh ini bersatu dengan jasad kecil ini, apa yang aku kenal akan diri ini adalah seorang yang mudah dialih perhatiannya. Ya, aku spesis homosapien yang tidak tahu duduk diam, terutamanya akalnya. Ada saja yang mahu difikirkan. Kerana aku juga seorang manusia biasa, kadang-kadang ada waktu di mana aku culas hatta dalam urusan seharian. Kadang-kadang keinginan mahu menonton filem atau drama secara berterusan itu datang membuak-buak.

Lalu aku diilhamkan dengan satu cara ringkas yang berbunyi “Kalau ada keinginan untuk melakukan perkara sia-sia, cepat-cepatlah kamu berlalu memberi pertolongan kepada orang  lain. Walaupun kebaikan itu kecil menurutmu.”

Aku mendapati itu banyak membantu, malah bahagia itu lebih bersifat hakiki berbanding dengan keseronokan daripada hiburan kosong. Bahagia kerana kau berjaya lepas daripada cengkaman nafsu sendiri, bebas melakukan ketaatan tanpa rasa terbeban.

Dalam kehidupan seharian sebagai seorang mahasiswi, aku juga tidak terlepas daripada dihujani dengan assignment, presentation, quiz dan test. Kebanyakan waktu nya, jiwa ini bergelumang dalam diam, meronta liar. Sejujurnya kalau aku membuat ulangkaji untuk subjek teras, seolah olah aku sedang cuba menghafal SOP. Seringkali terpalit di benak sendiri, aku mahunya apa. Hafal tidak mahu, baca pun tidak mahu. Eh malah perginya membaca buku lain. Degil amat! Pada masa yang sama, kerana tidak tahan menahan penangan jiwa bergelora, ada satu tempat di mana jiwa aku dirawat. Nafsu dididik dengan mudah kerana aku meyakini itu semua kerana ada keberkatan pada tempat tersebut. Namanya Baitul Huda. Tempat di mana orang mencedok pelita yang telah sirna daripada kebanyakan jiwa umat Islam. Pelita inilah yang sesungguhnya menjadi punca kekuatan umat, pada suatu masa dahulu. Pelita itu adalah Ilmu-Ilmu Tradisi Islam. Kamu silap besar kerana memandang enteng akan pengajian seperti ini. Aku sendiri mulai menyedari kepentingan semua ini setelah kehidupan dilanda konflik.


Maka setelah itu aku mengganggap bahawa setiap tribulasi itu rahmat. Untuk sosok degil seperti aku, memang selayaknya diajar dengan kesusahan. Analoginya seperti sebuah pokok di mana aku harus terlebih dahulu patah jiwanya, dibaja akar  jati diri dengan baja ilmu yang benar. Aku akan terus patah sehingga ranting jiwa yang tumbuh itu merupakan ranting yang terbaik lalu menumbuhkan bunga-bunga yang indah. Ditampar realiti, aku bangun menyedari bahawa dunia ini adalah khayalan. Tidak hakiki. Yang aku tahu, kita ini khayal dek kerana mabuk dengan segala prasarana ciptaan Tuhan. Ubat kepada mabuk itu hanya ada pada ilmu-ilmu Islam. Tiada pada yang lain bahkan kalau ditawarkan juga ubatnya daripada segenap yang lain, itu adalah lebih memabukkan. Kamu harus tahu bahawa punca segala kerosakan di dunia ini adalah kerana manusia itu tidak arif akan siapa PenciptaNya. Maka, rasa takut itu sedikit pun tidak tersemat di dalam hati ketika melakukan kezaliman. 


Cara memilih blender yang tepat

 Assalamualaikum. Kali ini saya nak menulis sebuah entri untuk bantu cara pemilihan blender (pengisar) yang sesuai untuk kegunaan masing-mas...